Alangkah baiknya jika pohon durian itu berbuah lebat, buah-buahnya tidak rosak dan isinya dapat dinikmati oleh semua. Jika tidak berbuah pun, alangkah baiknya jika dedaunan hijau yang merendang menjadi tempat berteduh anak-anak daripada terik mentari , redup cahaya membangkitkan nostalgia keanak-anakan.
Dan, alangkah baiknya jika semua manusia tahu bahawa pohon durian itu amat sensitif sifatnya. Sedikit akar terluka, makan tahun rajuk tidak berbunga. Andai berbunga pun, seminggu dua kudup mula berkembang pasti layu gugur ke bumi kerana rosak akarnya penyebab rosak kudupnya. Andai lekat sebiji dua buahnya, pasti mangkal, buruk dan kurang rasa enaknya.
Jika pohon durian itu berbuah lebat, jangan digoyong, dipanjat atau dijolok untuk menjatuhkan buah-buah itu sudah tentunya isinya belum masak dan tidak dapat dinikmati. Lebih bahaya lagi jika buah-buah durian itu gugur menimpa kepala kita atau kita terjatuh, terpaksalah ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.
Biarlah buah-buah durian itu gugur dengan sendirinya, sudah tentu isinya sudah cukup masak untuk dijamah dan jika dipelawa oleh empunya pokok, jemputlah sama-sama menjamah hasil buah durian yang mana pokoknya dibaja, dijaga dengan penuh keilkhlasan, rasa tanggungjawab serta berintegriti.
No comments:
Post a Comment